English version
ACoRD bertujuan memperkenalkan kaedah pedagogi digital berinovatif yang akan memberikan manfaat kepada pelajar penjagaan kesihatan dan sains bioperubatan di negara rakan kongsi, dengan berkongsi kepakaran dan latihan kakitangan akademik serta ahli teknologi sedia ada di negara-negara tersebut tentang cara membangunkan alat dan sumber digital multimedia berkualiti tinggi serta dinilai oleh rakan setara (peer reviewed), dan menyepadukannya dalam kurikulum tradisional sedia ada.
Objektif
- Mengenal pasti bidang kurikulum perubatan, kejururawatan dan sains bioperubatan di negara rakan kongsi yang membolehkan pelajar meraih manfaat daripada sumber digital untuk meningkatkan pembelajaran mereka, sekali gus membolehkan pihak konsortium membina kapasiti dalam kaedah membangunkan sumber tersebut.
- Memindahkan pengetahuan dan pengalaman daripada institusi Kesatuan Eropah (EU), yang telah berjaya melaksanakan kaedah pembelajaran digital dalam bidang perubatan, kejururawatan dan sains bioperubatan, dengan menggunakan pendekatan latihan jurulatih (train the trainer) untuk membina kepakaran dalam menggunakan metodologi penciptaan bersama yang dipanggil ASPIRE (Sasaran, Papan Cerita, Mengisi Ruang, Melaksanakan, Mengeluarkankan, Menilai) bagi pembangunan objek pembelajaran yang boleh diguna semula (RLO).
- Menggunakan pengalaman yang diperoleh oleh ahli akademik dan ahli teknologi di negara rakan kongsi untuk mewujudkan RLO yang baharu dan diadaptasi untuk tujuan lain (repurposed), dengan menggunakan proses ASPIRE.
- Untuk menilai RLO bersama para pelajar di setiap negara rakan kongsi berikutan usaha penerapan yang dilakukan dalam kurikulum perubatan, kejururawatan dan sains bioperubatan.
- Untuk mewujudkan reka bentuk repositori RLO tersuai mengikut gaya repositori HELM Open yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa. Repositori ini mengandungi 22 akses terbuka RLO yang dicipta dalam projek ACord yang boleh berkembang seiring dengan peningkatan kapasiti, bagi mewujudkan pengembangan sumber digital berkualiti tinggi.
ACoRD akan berkongsi sumber berkualiti tinggi berorientasikan pedagogi untuk kemudahan penggunaan yang meluas oleh para pendidik dan pelajar. Persamaan dan keserupaan dasar penjagaan kesihatan meningkatkan keberkesanan sumber yang dikongsi untuk menambah baik sistem penjagaan kesihatan dalam PC. Perkongsian ini menghimpunkan para pemimpin dalam pembangunan sumber jenis ini di Eropah. Projek ini juga mempunyai potensi untuk menyumbang kepada tiga agenda yang berikut; pemodenan kurikulum, keperluan pesakit sebagai keutamaan terpenting dan pembangunan profesional yang berterusan.
Prinsip yang menjadi asas kepada usaha ini mempunyai hubungan yang murni dengan budaya Eurasia. Pendekatan RLO Eropah mencerminkan reka bentuk penyertaan berdasarkan pelbagai pihak berkepentingan yang mungkin menggunakan RLO pada masa akan datang, berasaskan maklumat yang diberikan oleh amalan klinikal; keperluan pendidikan, pendekatan artistik, sekali gus membina kisah pengalaman pesakit dan memerlukan penjanaan pelbagai penyelesaian. Pembangunannya yang berterusan akan memperkaya pengalaman bersama negara-negara yang terletak jauh dari segi geografi, merentas EurAsia.
Latar belakang projek
Dasar E-Pembelajaran Negara Malaysia telah diwujudkan sejak tahun 2011 dengan matlamat untuk mentransformasikan institusi pengajian tinggi Malaysia (HEI) menjadi institusi yang mampu berdaya saing pada peringkat global, menerusi pembentukan rangka kerja e-pembelajaran yang berkualiti tinggi dan lestari. Bagi mencapai matlamat tersebut, Kementerian Pendidikan Tinggi bersama-sama dengan IPT di Malaysia berganding bahu untuk membina kapasiti dalam kalangan komuniti akademik, bagi mewujudkan sebuah platform e-pembelajaran kebangsaan dan menyelaraskan serta menerajui pembangunan kandungan. Inisiatif utama yang diambil termasuk melancarkan kursus dalam talian terbuka secara besar-besaran (massive open online courses, MOOC) dalam subjek-subjek yang khusus, sekali gus menjadikan pembelajaran dalam talian penting dan mewujudkan infrastruktur siber yang diperlukan untuk pendidikan tinggi dan pembelajaran sepanjang hayat.
Walaupun kebanyakan IPT di Malaysia telah melaksanakan e-pembelajaran dalam kurikulum mereka, terdapat variasi dalam kualiti dan bilangan bahan e-pembelajaran yang dihasilkan. Hal yang demikian boleh disebabkan oleh perbezaan budaya organisasi, sumber, kepakaran dan kurikulum e-pembelajaran. Contohnya, di Universiti Malaya (UM), pelbagai MOOC, sumber pendidikan terbuka (OER) dan sebuah platform e-pembelajaran (Spectrum) disediakan bagi menyokong matlamat dasar E-pembelajaran untuk menjadi ‘negara bagi pelajar sepanjang hayat’ dan ‘pembelajaran dalam talian tahap global’, selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Di Universiti Putra Malaysia (UPM), sebuah portal e-pembelajaran Moodle (PutraBlast) digunakan. Selain itu, alat e-pembelajaran yang lain seperti Padlets, Blendspace, Edmodo, Kahoots dan Edpuzzle juga telah digunakan untuk meningkatkan tahap pembelajaran pelajar. Di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), pembelajaran teradun (blended learning) bermula pada tahun 1998 dan telah berkembang dari semasa ke semasa. Manakala di Universiti Taylor (TU), sebuah unit Akademi e-Pembelajaran (e-Learning Academy (eLA)) bertanggungjawab dalam memacu inisiatif e-Pembelajaran di Universiti Taylor dan Unit ini sangat proaktif dalam menggalakkan penggunaan teknologi melalui pengajaran dan pembelajaran. Pada masa ini, eLA digerakkan oleh 11 kakitangan daripada 3 unit yang berbeza fungsi, iaitu Unit Pembangunan Kandungan, Unit Teknologi Pembelajaran dan Unit Latihan dan Pembangunan yang bersama-sama menyokong e-pembelajaran Universiti Taylor (TU).
Walau bagaimanapun, biarpun e-pembelajaran merupakan agenda pendidikan tinggi nasional, satu tinjauan yang dijalankan terhadap IPT Malaysia menunjukkan bahawa pelaksanaan alat pembelajaran digital kekal pada tahap suboptimum. Contohnya, 61.5% daripada IPT di Malaysia tidak mempunyai dasar e-pembelajaran, dan hanya 12 daripada 20 IPT yang mempunyai pelan pelaksanaan e-pembelajaran yang berjaya meraih kadar kejayaan 0 hingga 50%. Di samping itu, lebih 60% daripada bahan e-pembelajaran yang tersedia mempunyai ciri interaktif yang sederhana. Lebih separuh daripada pensyarah dan pelajar berpendapat bahawa integrasi e-pembelajaran di institusi mereka adalah tidak mencukupi.
Di Malaysia, kebanyakan IPT berdepan dengan pelbagai cabaran utama semasa melaksanakan strategi e-pembelajaran; ini merangkumi kekurangan fasilitator latihan pakar, modul latihan, pasukan merentas bidang (pakar perubatan, guru, ahli teknologi pembelajaran dan pereka kaedah pengajaran), infrastruktur dan motivasi dalam kalangan kakitangan pengajar. Sesetengah pelajar sukar untuk mengakses sumber e-pembelajaran, malah ada yang mendapati kandungannya tidak menarik dan berpendapat bahawa aktiviti e-pembelajaran memakan masa.
Bagi mengatasi halangan ini, Dasar E-Pembelajaran Kebangsaan 2.0 yang telah dikemas kini menekankan kepentingan membangunkan kandungan e-pembelajaran yang berkualiti tinggi dan membina kapasiti e-pembelajaran di IPT Malaysia. Sasarannya adalah untuk membolehkan kebanyakan IPT Malaysia memperoleh sekurang-kurangnya 40% daripada bahan e-pembelajaran yang baharu untuk kursus dan mencapai e-kandungan bertaraf antarabangsa menjelang tahun 2025. Tambahan lagi, pensyarah juga digalakkan untuk menggunakan, membangunkan dan membuat inovasi bahan pembelajaran sebagai sebahagian daripada pengajaran mereka. Contohnya, Universiti Malaya menghendaki para pensyarahnya membangunkan serta mengajar dengan menggunakan e-pembelajaran dan ini menjadi sebahagian daripada penilaian prestasi tahunan mereka.
Di samping itu, salah satu daripada matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025) adalah untuk menggalakkan pembelajaran dalam talian tahap global supaya ia dapat memperluas akses kandungan yang berkualiti, meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, menurunkan kos pelaksanaan dan mengetengahkan kepakaran Malaysia kepada komuniti global. Dalam projek yang dicadangkan ini, pembangunan dan penyebaran objektif pembelajaran yang boleh diguna semula sangat menepati komitmen Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
University of Nottingham (UoN), University of Stavanger (UiS) dan Karolinska Institutet (KI) merupakan pusat kecemerlangan e-pembelajaran di Eropah. Institusi tersebut mempunyai asas, pengalaman dan pasukan yang kukuh dalam menghasilkan bahan e-pembelajaran berkualiti tinggi yang boleh diguna semula. E-Pembelajaran Kesihatan dan Pasukan Media (Health E-Learning and Media Team, HELM) UoN merupakan pakar terunggul RLO dalam bidang kesihatan yang mempunyai pelbagai kepakaran metodologi dan teknikal dalam pembangunan dan penilaian RLO. Jabatan Pembelajaran Digital UiS mempunyai kepakaran khusus dalam membangunkan bahan dan penyelesaian pembelajaran digital untuk pendidikan dalam talian dan telah menghasilkan pelbagai penyelesaian dalam talian sejak tahun 2000; KI mempunyai platform e-pembelajaran yang menyediakan Sumber Pendidikan Terbuka (OER) yang dipanggil Ping Pong. Oleh yang demikian, pasukan dari UON, UiS dan KI berada dalam kedudukan yang terbaik untuk menyokong IPT Malaysia dalam pembinaan kapasiti e-pembelajaran.
Pada masa ini, tiada pendekatan yang sistematik untuk membangunkan bahan e-pembelajaran dalam lingkungan dan merentas seluruh IPT di Malaysia. Projek ini memberikan tumpuan pada e-pembelajaran kerana ia selari dengan agenda pendidikan kebangsaan Malaysia untuk menggunakan pembelajaran teradun bagi meningkatkan pengalaman dan hasil pengajaran serta pembelajaran. Erasmus + KA2 –Pembinaan Kapasiti dalam Geran Pendidikan Tinggi akan memudahkan pembinaan kapasiti dalam e-pembelajaran di IPT Malaysia bagi membangunkan RLO yang boleh dikongsi merentas pelbagai disiplin dalam sains kesihatan bioperubatan, di Malaysia dan merentas rantau. RLO ini boleh disesuaikan dan diadaptasikan untuk tujuan lain yang sesuai dengan amalan dan penjagaan kesihatan setempat. Dalam konteks sains kesihatan bioperubatan, kandungan yang lazim boleh dikongsi merentas disiplin, contohnya perubatan, kejururawatan, sains bioperubatan dan farmasi.
References
“Executive Summary Malaysia Education Blueprint 2015-2025 (Higher Education).” edited by MINISTRY OF EDUCATION MALAYSIA, 32. Putrajaya, Malaysia: Ministry of Education Malaysia, 2015.
Atan, Hanafi & Embi, Mohamed & Hussin, Supyan. (2011). e-Learning in Malaysian Higher Education Institutions: Status, Trends, & Challenges. Department of Higher Education Ministry of Higher Education.